Saturday, February 11, 2012

Surat dari seorang gadis yang berdosa





Saya seorang remaja perempuan berusia 21 tahun dan mempunyai latar belakang pendidikan agama yang baik. Kisah kehidupan saya bermula apabila saya berpindah dari sekolah agama ke sekolah menengah biasa.


Saya mula bergaul dengan kaum Adam yang sebelum ni sangat asing bagi saya. Setelah tamat sekolah menengah, saya berkenalan dengan seorang lelaki melalui telefon bimbit yang pada mulanya hanya sekadar sahabat. Lama-kelamaan hubungan kami jadi akrab. Pada suatu malam, dia mengatakan cintanya pada saya dan saya menerimanya.


Setelah beberapa bulan kami berkenalan dan bercinta, barulah saya bersedia untuk berjumpa dengannya. Pada pertemuan pertama kami, dia sangat 'gentleman' membuatkan saya lebih yakin dan percaya pada hubungan ini.


Selepas setahun berhubungan, dia mula mengajak saya untuk melakukan hubungan seks. Setiap kali dia bertanya, saya akan mengelak dan tidak mengendahkannya. Entah bagaimana, pada suatu malam dia menjemput saya keluar dan akhirnya saya kalah dengan ajakannya. Kami telah berzina beberapa kali sejak dari itu.


Setelah umur menganjak, saya mula memikirkan tentang kehidupan ini, tentang kelalaian saya pada agama kerana saya cintakan seorang lelaki yang telah merosakkan hidup saya. Saya amat menyesal lalu memutuskan hubungan dengannya.


Saya mengalami tekanan yang amat kuat. Saya merasakan saya seorang manusia yang sangat hina yang tidak mungkin diterima oleh Allah S.W.T di atas kelakuan saya yang lepas. Saya terfikir bagaimana kehidupan saya di masa akan datang. Adakah Allah terima taubat saya? Adakah Allah mengampunkan dosa saya? Masihkah saya mampu untuk berdoa dan meminta kebaikan dari-Nya?




Manusia dikelilingi nafsu yang sentiasa mendorong kepada keseronokan yang dilarang oleh Allah, mendorong kepada kejahatan sehingga tidak menyedari bahawa dia telah terkeluar dari landasan sebenar, walaupun sebelum itu dia tahu garis panduan yang perlu diikuti.


Manusia yang leka dan apabila diperingatkan lalu dia tersedar daripada kesilapan yang telah dilakukan, maka itu petanda hatinya tidak mati, hatinya masih hidup dan mahu kembali ke pangkal jalan dan mengharapkan keampunan dari Allah.


Adakah taubat saudari diterima? Kalam Allah dalam Al-Quran cukup banyak menjawab soalan itu. Antaranya;


Surah at-Tahrim Ayat 8


Wahai orang-orang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan2 dan memasukkan kamu ke dalam syurga


Surah an-Nahl ayat 119
Kemudian sesungguhnya Tuhanmu mengampuni orang2 yang mengerjakan kesalahan kerana kebodohannya kemudian mereka bertaubat setelah itu memperbaiki dirinya. Sungguh Tuhanmu setelah itu Maha Pengampun, Maha Penyayang.


Antara lain kita harus berbaik sangka terhadap Allah dan yakin serta percaya bahawa Allah akan ampunkan dosa yang telah kita lakukan. Ini akan memberi kekuatan kepada kita bahawa masih ada ruang dan peluang untuk memperbaiki diri.


Kalau kita sakit fizikal, kita berjumpa doktor dan kalau kita sakit jiwa, berjumpalah pakar jiwa iaitu alim ulama yang dapat membimbing kita. Untuk menghidupkan hati kita, banyakkan bersolat sunat selain yang wajib.


Ingatlah niat yang sebenar-benar ikhlas dan taubat yang sebenar-benar taubat dan amat mengharap keampunan Allah akan diberi cahaya ketenangan.




Pengajaran untuk kita samua termasuk aku. Kita merasakan kita tak pernah buat dosa dalam sesuatu perhubungan Tapi tanpa kita sedar, mungkin ada walau sezarah. Bak kata orang, apabila berdua, "aku" lah yang ketiga.


Dipetik dan di copy paste dari majalah Mingguan Wanita (10-16 Februari 2012), m/s 72 & 73 dalam ruangan Ya Tuhan bersama Puan Maimunah Haji Mohamad.




 

No comments: